Saturday, 12 November 2011

TITAH RAJA DR. NAZRIN SHAH

Tingkat Pencapaian Ekonomi Jadi Cabaran Dunia Islam: Raja Muda Perak
IPOH, 10 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah Selasa bertitah bahawa cabaran utama yang harus diberi tumpuan oleh 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia ialah prestasi pencapaian ekonomi mereka.

"Hari ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul kesemua negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak pun dapat menandingi KDNK negara Jepun. Malah KDNK Jepun sahaja adalah tiga kali ganda KDNK negara-negara OIC disatukan," titah baginda.

Bertitah merasmikan Muzakarah Ulama bertemakan "Menjana Pengurusan Ekonomi: Perancangan Kewangan Barakah" di sini, baginda mengingatkan prasyarat yang akan menentukan kekuatan umat Islam untuk bersaing dan berganding dalam dunia ekonomi global yang kompetitif ialah penguasaan ilmu.

"Kejayaan ekonomi tidak lagi bergantung kepada sumber prima dan hasil bumi semata-mata. Kejayaan ekonomi kini bergantung kepada keupayaan mencetuskan idea baru - keupayaan mentafsir, memahami dan mengurus idea - keupayaan mencipta - keupayaan menyuntik inovasi dan keupayaan membawa perubahan," titah baginda.

Raja Muda Perak bertitah untuk itu, usaha membangunkan minda yang menguasai dan menerokai ilmu sangat penting agar daya fikir umat Islam dapat dipertajamkan.

"Pemikiran umat Islam perlu berani berhijrah, dibawa keluar dari kepompong pemikiran yang mengamalkan pendekatan lama yang semakin jumud dan usang.

"Ulama Islam berperanan besar untuk nenanamkan semangat di kalangan tenaga muda Islam supaya berani melakukan penghijrahan pemikiran lalu membawa perubahan...tenaga muda Islam yang dinamik lagi progresif, berupaya mengenal pasti serta meneroka ruang-ruang baru ekonomi," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah bahawa sumber manusia berpengetahuan menjadi bertambah kritikal dalam era ekonomi berpaksikan pengetahuan.

Ekonomi berpaksikan pengetahuan, titah baginda telah mengubah struktur ekonomi dunia.

"Perdagangan yang berlaku di peringkat global pada 2000, mencatatkan RM150 bilion bertukar tangan dalam setiap minit. Daripada angka tersebut, hanya RM3 bilion atau dua peratus sahaja daripada nilai dagangan berbentuk barangan, selainnya berbentuk perkhidmatan atau royalti kepada daya cipta yang dihasilkan dari minda yang imaginatif dan kreatif," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa negara-negara Islam wajib meneliti dinamik ekonomi yang sedang berlaku pada masa kini.

"Muzakarah ini hendaklah dijadikan forum yang mencetuskan percambahan fikiran dan percambahan idea dalam usaha merangka program kerja yang pragmatik untuk membangunkan ummah di bidang ekonomi," titah baginda.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dalam ucapannya berkata kerajaan negeri amat terbuka dalam menerima sebarang cadangan untuk memartabatkan ekonomi Islam yang melibatkan kerajaan dan swasta.

"...kerana itulah, kerajaan amat komited dan bersungguh-sungguh menjayakan program muzakarah ini saban tahun. Saya yakin hasil muzakarah kali ini dapat memberikan panduan kepada pihak kerajaan dalam membangunkan negara...," katanya.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat, mufti, ahli akademik, ekonomi dan tokoh agama dari seluruh negara menyertai muzakarah selama tiga hari itu yang bermula semalam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment